ad
AGENDA

Tiga warga asing ditahan, rumah dijadikan transit pendatang tanpa izin diserbu

15 Jan 2025, 8:10 AM
Tiga warga asing ditahan, rumah dijadikan transit pendatang tanpa izin diserbu

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Seorang wanita dan dua lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin selepas sebuah rumah yang dijadikan tempat transit di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, diserbu malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman SAC Soffian Santong berkata mereka yang berusia antara 28 dan 50 tahun itu dipercayai berperanan sebagai penjaga dan pembantu rumah transit berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata suspek wanita itu turut didapati berperanan sebagai pengatur bagi perjalanan keluar dan masuk pendatang tanpa izin ke Malaysia melalui jalan laut di kawasan Banting, Selangor, selain penyedia tempat tinggal dan makanan kepada mereka.

“Siasatan awal juga mendapati rumah transit yang digunakan adalah rumah yang disewa suspek wanita berkenaan yang mengenakan bayaran sewa RM30 sehari terhadap setiap pendatang tanpa izin.

“Hasil soal siasat awal terhadap pendatang tanpa izin, bayaran yang dikenakan untuk masuk atau keluar ke Malaysia antara RM1,500 hingga RM3,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Soffian berkata menerusi Op Pintas Penyeludupan Migran itu, pihaknya turut menahan 24 pendatang tanpa izin terdiri 17 warga Indonesia dan tujuh warga Myanmar berusia antara 21 dan 54 tahun.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Sekyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1956/63.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.