REMBAU, 15 JAN: Tiga maut enam parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 226.5 (U) Lebuhraya Utara- Selatan (Plus), di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed, berkata dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, dua mangsa maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Siasatan awal mendapati sebuah lori jenis Mitsubishi Fuso yang membawa muatan tanah dan bunga dipandu Mohd Esa Daharin, 73, dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh, Melaka menghala ke Senawang, Seremban.
"Lori yang turut dinaiki dua kelindan warga Bangladesh itu dikatakan dipandu di lorong kiri dan dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, lori terbabit kemudian dipercayai melanggar besi penghadang jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum terbabas semula ke kiri jalan.
"Pada masa sama, sebuah kereta Honda City dipandu lelaki berusia 21 tahun yang datang dari arah belakang di lorong kanan dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar lori itu.
"Seterusnya, kereta jenis BMW yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dan kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki juga dari arah belakang dipercayai turut melanggar lori terbabit," katanya.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu lori serta kelindan dikenali sebagai Md Usuf Ali, 40, parah pada bahagian kepala dan maut di tempat kejadian.
"Seorang lagi kelindan berusia 40 tahun parah, manakala penumpang Honda City, Terence Ng Zhi Yang, 21, disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Rembau.
"Pemandu dan penumpang Honda City serta Toyota Vios parah. Semua mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian," katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, K Kaveearassu di talian 01121581473.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.