Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 15 JAN: Kerangka kepelbagaian, kesaksamaan dan inklusif (DEI) akan diperkenal Selangor dengan kerjasama swasta untuk mempromosi kesaksamaan gender dalam amalan pengambilan pekerja.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata inisiatif berkenaan bagi meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja golongan itu daripada 53 kepada 60 peratus menjelang 2030.
Menurutnya, kerangka itu mencerminkan sikap proaktif Selangor dalam menghapuskan jurang (bias) gender, meningkatkan inklusif dan memastikan tenaga kerja yang mampan dan beragam.
"Tahun ini, Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor akan melancarkan inisiatif baharu untuk mempromosikan inklusif (terangkum) dalam tenaga kerja.
"Inisiatif ini termasuk program yang menyokong wanita kembali bekerja dan membanteras diskriminasi gender di tempat kerja dengan memperkenal kerangka DEI," katanya kepada Media Selangor.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia Shakira Teh Sharifuddin, yang menekankan kepentingan mengupah lebih ramai wanita dan warga emas bagi merancakkan ekonomi.
[caption id="attachment_660565" align="aligncenter" width="760"] Wawancara EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahudiin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Merapatkan jurang gender, wujud Dasar Warga Emas
Dalam pada itu, Anfaal menjelaskan Rancangan Wanita Selangor 2024-2026 menekankan kepentingan menutup jurang gender di semua peringkat, termasuk dalam pasaran tenaga kerja.
Katanya, tiga pelan utama digariskan, iaitu menggalakkan susunan kerja anjal, meningkatkan capaian pusat penjagaan awal kanak-kanak dan dorongan wanita bekerja semula, terutama selepas bersalin.
"Selangor meningkatkan bilangan pusat pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak melalui jawatankuasa khas bagi menyeragam dan memudahkan pendaftaran pusat berkenaan.
"Turut dilaksana program Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Kanak-kanak (Impak) Selangor, iaitu kursus buat wanita yang mengasuh di rumah dengan bilangan peserta mencecah 1,000 orang," katanya.
Pada masa sama, Anfaal memberitahu pelan tersebut turut menggariskan strategi untuk berdepan negeri menua, antaranya mewujudkan Platform Pekerjaan Warga Emas Selangor bermula tahun lalu.
Beliau menjelaskan usaha tersebut bagi membangunkan platform pekerjaan warga emas di negeri ini dengan pusat fizikal sokongan tambahan, selain Dasar Warga Emas, yang kini dalam fasa kajian.
"Melalui kajian mendalam bersama pakar, pembuat dasar, dan pihak berkepentingan, kami berhasrat untuk meningkatkan kualiti hidup populasi warga emas di Selangor," tambahnya.