ad
AGENSI

Dua pelajar, seorang pengajar Adtec wakili negara ke Asean Skills di Manila

15 Jan 2025, 1:29 AM
Dua pelajar, seorang pengajar Adtec wakili negara ke Asean Skills di Manila
Dua pelajar, seorang pengajar Adtec wakili negara ke Asean Skills di Manila

SHAH ALAM, 15 JAN: Dua pelajar dan seorang tenaga pengajar dari Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) di sini, terpilih mewakili negara di Asean Skills 2025 di Manila, Filipina.

Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) memaklumkan, bakat mereka dicungkil menerusi pertandingan WorldSkills Selangor 2024 pada Disember lalu.

“WorldSkills Selangor 2024 yang pertama kali dianjurkan menjadi platform strategik bagi menonjolkan bakat muda dalam bidang teknikal dan vokasional.

“Acara ini menjadi pemangkin dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sejajar dengan aspirasi negara untuk memperkukuh sektor teknikal dan vokasional di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Dua pelajar Adtec ialah Muhammad Haiqal Mohd Shamshuri, 20, dan Muhammad Ezil Mikhail Edy Safaris, 20, merupakan penuntut Diploma Teknologi Mekatronik.

Sementara Ubaidullah Mohammad, 42, berpengalaman 15 tahun sebagai pensyarah mekatronik dengan pengkhususan robotik, automasi dan sistem integrasi.

Sebagai persediaan menghadapi cabaran besar di Asean Skills 2025 menjelang Ogos depan, tambah kenyataan itu, semua peserta akan menjalani latihan intensif serta simulasi pertandingan di STDC.

Menurutnya STDC sebagai hab latihan teknikal bertaraf antarabangsa, menyediakan fasiliti canggih yang memenuhi standard global dalam bidang Revolusi Industri 4.0.

“Dengan kejayaan ini, Selangor terus membuktikan peranannya sebagai peneraju dalam melahirkan bakat berkualiti tinggi, sekaligus meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.