ad
AGENDA

PM: Kedudukan unik Malaysia bantu rangka dasar ekonomi mampan

15 Jan 2025, 12:03 AM
PM: Kedudukan unik Malaysia bantu rangka dasar ekonomi mampan

ABU DHABI, 15 JAN: Kedudukan unik Malaysia membantu negara merangka dasar ekonomi yang komprehensif dan mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Malaysia beruntung kerana stabil dari segi politik walaupun mempunyai rakyat yang berbilang budaya, agama dan bangsa, serta mungkin menjadi satu daripada negara paling aman di rantau ini dan antara ekonomi yang berkembang pesat di dunia.

“Ketika Malaysia memegang jawatan Pengerusi Asean tahun ini, negara kita bekerjasama rapat dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE),” kata beliau pada Sesi Pleno Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025 di sini pada Selasa.

Ketika ditanya moderator, Pengerusi Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) Razan Al Mubarak mengenai peluang dan cabaran Malaysia dalam strategi biodiversiti, Anwar berkata cabaran utama ialah pelaksanaan dan kejelasan dasar.

“Walaupun kami bukan baharu, usaha besar seperti ini ialah sesuatu yang baharu. Kekuatan Malaysia sekarang, sebagai contoh, adalah sebagai hab semikonduktor. Namun, kami sedar ia tidak mencukupi, ekosistem perlu betul dari segi biodiversiti dan kelestarian. Jadi, kami melakukan usaha dalam latihan, kemudahan, pelaburan baharu, syarat yang dikenakan dan program khusus baharu.

“Kebertanggungjawaban dalam tadbir urus bukan hanya melakukan dasar segera yang anda fikirkan betul, tetapi juga kelestarian, untuk menangani penggondolan hutan, bukit dan gunung. Ia keperluan moral yang harus kita kejar dengan penuh semangat dan tekad,” kata beliau.

Terdahulu, Anwar menghadiri upacara pembukaan ADSW 2025 yang disempurnakan Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di ADNEC Centre di sini.

Beliau turut menghadiri sesi dialog Youth 4 Sustainability (Y4S), iaitu sebahagian daripada program ADSW 2025.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.