ad
AGENSI

MBI peruntuk RM40,000, edar kupon RM10 kepada pengunjung bazar Ramadan

14 Jan 2025, 1:15 PM
MBI peruntuk RM40,000, edar kupon RM10 kepada pengunjung bazar Ramadan

SHAH ALAM, 14 JAN: Program Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar diteruskan sepanjang Ramadan ini melibatkan peruntukan RM40,000, kata ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya akan mengedar Kupon Digital Rahmah bernilai RM10 di lima bazar terpilih bagi meringankan beban orang ramai membeli juadah berbuka selain mempromosi jualan peniaga.

“Kita agih 4,000 kupon digital bernilai RM10. Setakat ini kita akan laksana di lima lokasi namun akan bertambah mengikut keperluan.

“Bazar terpilih akan diumum nanti selepas pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti lokasi sama ada tapak baharu atau bazar yang memang popular,” katanya kepada SelangorKini.

Sempena Ramadan tahun lalu, MBI memperuntuk jumlah sama bagi program itu melibatkan lapan lokasi antaranya Bazar Kelana Jaya SS6/1, Bazar CLC Semenyih dan Bazar Alam Impian.

Pada 2023 MBI turut memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar sebanyak 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.

Mula diperkenal pada Ramadan 2020, PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan pada April 2022 melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Rakan Digital Selangor (RDS).

Setakat Oktober tahun lalu, seramai 40,000 peniaga melibatkan semua produk niaga sudah menyertai platform berkenaan dan Kerajaan Negeri menyasarkan 50,000 peniaga menyertainya menjelang 2026.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.