ad
ADN

Naik taraf kemudahan sukan antara tumpuan ADN Rawang tahun ini

14 Jan 2025, 10:09 AM
Naik taraf kemudahan sukan antara tumpuan ADN Rawang tahun ini
Naik taraf kemudahan sukan antara tumpuan ADN Rawang tahun ini

SHAH ALAM, 14 JAN: Menaik taraf infrastruktur sukan awam di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang akan diteruskan tahun ini.

Wakil rakyatnya Chua Wei Kiat berkata ia termasuk gelanggang bola keranjang dan futsal yang digunakan komuniti setempat untuk beriadah.

“Tahun lepas saya gunakan kira-kira RM300,000 termasuk peruntukan dari Projek Selangor Penyayang untuk naik taraf kemudahan sukan.

“Selain itu, difahamkan Majlis Perbandaran Selanyang (MPS) akan membina padang sintetik yang pertama di bawah pihak berkuasa tempatan itu,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_587014" align="alignnone" width="815"] ADN Rawang Chua Wei Kiat meninjau jalan raya yang sudah diturap pada 13 Jun 2023. Foto Facebook Chua Wei Kiat.[/caption]

Selain itu, katanya, kesesakan lalu lintas terus menjadi tumpuan pihaknya, walaupun ia dilihat semakin baik susulan pelaksanaan beberapa projek pembangunan jalan raya yang sedang berjalan dan telah selesai.

“Rawang ada dua jalan utama iaitu FT01 dan FT3209 yang berhubung dengan jalan negeri B27. Dua jajaran ini adalah jalan utama di Rawang yang menghubungkan pekan lama Rawang dengan pembangunan baru di Rawang seperti Kota Emerald, Country Homes dan Saujana Rawang.

“Ia dilalui setiap hari oleh penduduk yang kebanyakkannya bekerja di Kuala Lumpur atau pusat bandar. Semua jalan itu sudah ada peruntukan yang turun, cuma sekarang ini ia dalam tempoh pelaksanaan.

“Banjir kilat juga kita pantau. Risiko banjir kilat yang sering berlaku di jalan utama terutama sekitar tol Rawang mungkin dapat dikurangkan dengan siapnya kolam takungan di Rawang Integrated Industry Park nanti,” katanya.

Wei Kiat berharap akses kepada pengangkutan awam di kawasan Rawang dapat dipertingkat dan ditambah baik bagi memastikan keselesaan komuniti setempat.

“Rawang ini kawasan pinggir bandar yang semakin hari semakin bertambah penduduknya. Banyak golongan muda beli rumah di kawasan ini. Jadi mereka minta supaya kemudahan pengangkutan awam diperbanyakkan,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.