SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 3,000 mahasiswa anak Selangor bakal menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) dengan data internet percuma untuk menyokong pembelajaran mereka.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pemberian yang dijadualkan selepas sambutan Aidilfitri itu tidak tertumpu kepada mahasiswa di negeri ini sahaja sebaliknya melibatkan semua institusi pengajian tinggi.
“Ini khas untuk anak Selangor yang sedang melanjutkan pelajaran. Kad SIM lengkap data internet ini dapat memudahkan urusan pembelajaran dan diberikan percuma selama setahun.
“Inisiatif ini sekali gus dapat menyelesaikan isu wifi di kampus. Kita harap usaha negeri ini akan memberi manfaat besar kepada penerima,” kata Ahmad Azri Zainal Nor kepada Media Selangor.
Pada 2021, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menerima kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.
Selain pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS), Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.
MBI turut menyalurkan bantuan komputer riba yang dilengkapi kad sim internet kepada mahasiswa dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.
Selain itu, seramai 16,800 pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah disasar menerima bantuan persekolahan sumbangan MBI tahun ini.