Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 14 JAN: Cadangan Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik sekali guna Jumaat hingga Ahad dipuji sebagai usaha penting mengurangkan penghasilan sisa plastik.
Presiden Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (Ecomy) berkata langkah itu melengkapi usaha pemuliharaan alam sekitar sedia ada di negeri ini, namun beliau turut menekankan terdapat keperluan penetapan garis masa pelaksanaan yang jelas.
“Sudah 15 tahun larangan penggunaan beg plastik sekali guna dikuatkuasakan iaitu pada setiap Sabtu sejak 2010. Kita masih ketinggalan dalam merangka pelan menyeluruh untuk mengurangkan penggunaannya secara signifikan.
“Pelaksanaan larangan selama tiga hari seminggu adalah permulaan yang baik,” kata Andrew Sebastian ketika dihubungi baru-baru ini.
November lalu, EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin mengumumkan cadangan melanjutkan larangan penggunaan beg plastik di premis perniagaan dari hanya Sabtu kepada Jumaat hingga Ahad, yang dijangka dilaksanakan tahun ini. Namun, tarikh pelaksanaan masih belum ditetapkan.
Sebastian turut menggesa Kerajaan Negeri mengamalkan pendekatan berperingkat sebelum melaksanakan larangan sepenuhnya terhadap penggunaan beg plastik sekali guna di semua industri.
“Perlu ada pelan yang terancang dan menyeluruh. Sudah bertahun tetapi kita masih belum melihat sebarang strategi komprehensif untuk larangan secara meluas,” katanya.
Beliau turut mencadangkan caj bagi beg plastik sekali guna dinaikkan 20 sen kepada RM2 untuk menggalakkan pengurangan penggunaannya.
Sementara itu, Jamaliah ketika dihubungi berkata Kerajaan Negeri sedang mengkaji semula undang-undang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan larangan beg plastik dari Jumaat hingga Ahad dapat dilaksana dengan berkesan.
[caption id="attachment_674829" align="aligncenter" width="1080"] EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berucap ketika majlis pelancaran Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor di luar Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 25 November 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu maklum balas Jabatan Undang-Undang Negeri dan pihak berkepentingan lain untuk memperhalusi dasar tersebut.
Jamaliah turut optimis kerjasama berkaitan dapat dipertingkat menerusi penubuhan pusat adaptasi perubahan iklim yang dijangka ditubuhkan akhir tahun ini.
“Pusat ini membolehkan kerjasama lebih baik dengan pihak berkepentingan untuk menyelaras dasar yang ada untuk keberkesanan lebih baik termasuk perbincangan dan penguatkuasaan dasar tanpa beg plastik.
“Kerajaan Negeri juga sedang mempertimbang untuk menaikkan caj 20 sen bagi beg plastik sekali guna, tetapi ia masih dalam perbincangan,” katanya.
Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010 setiap Sabtu, dengan sokongan kebanyakan pasar raya, pasar mini dan premis perniagaan.
Pengguna akan dikenakan caj 20 sen bagi setiap beg plastik dan wang yang dikutip disalurkan kepada badan amal, kebajikan pengguna atau program pemuliharaan alam sekitar.
Julai tahun lalu Jamaliah memaklumkan sehingga 2023, Selangor mengumpul RM38 juta menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik di kedai.
Menurutnya wang yang dikutip digunakan untuk program kesedaran dianjurkan Kerajaan Negeri bagi mendidik orang ramai tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar, termasuk Karnival Alam Sekitar 2024, pemasangan lampu solar, program pokok untuk pendidikan, sambutan Hari Bumi dan projek taman komuniti.