KUALA TERENGGANU, 14 JAN: Jumlah mangsa yang berpindah akibat ombak besar dan air pasang di dua daerah di Terengganu meningkat kepada 299 setakat 8 pagi ini berbanding 80 dilaporkan semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan di daerah Kemaman 285 mangsa daripada 73 keluarga berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Kuala Kemaman dan Balai Raya Kampung Geliga Pantai sejak Jumaat lalu.
Sementara itu, di daerah Dungun, 14 mangsa daripada lima keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bandar Paka sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata penutupan jalan dari kedua-dua arah di Pantai Seberang Takir kepada semua pengguna jalan raya bermula 12 Januari lalu sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak.
[caption id="attachment_681969" align="aligncenter" width="996"] Ombak besar susulan fenomena air pasang dan angin kencang ketika tinjauan di Kuala Ibai, Kuala Terengganu pada 13 Januari 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
“Penutupan jalan ini bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini akibat limpahan air yang boleh mengganggu lalu lintas di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Dalam kemas kini terbaru, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora dengan angin timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (km/j) di kawasan perairan Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor hingga 18 Januari.
MetMalaysia turut meramalkan ketinggian ombak boleh mencecah hingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot kecil serta aktiviti rekreasi laut dan sukan laut.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan pantai diminta lebih berwaspada dan tidak menghampiri pantai.
- BERNAMA