HULU SELANGOR, 14 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI meneruskan program Ihya’ Ramadan tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM4 juta.
Ketua Yayasan MBI berkata jumlah berkenaan merangkumi sumbangan kepada masjid serta surau, bantuan raya untuk asnaf, penganjuran majlis berbuka puasa bersama penduduk serta program mengimarahkan Ramadan.
“Mana-mana pengurusan masjid dan surau, persatuan penduduk atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan bantuan ini boleh menghantar surat permohonan kepada MBI,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.
Tahun lalu, MBI memperuntuk jumlah sama sempena Ramadan dan bantuan yang diutamakan kepada institusi agama serta golongan kurang berkemampuan itu diagihkan ke seluruh negeri.
Sepanjang 2019 hingga 2022, MBI telah membelanjakan hampir RM8 juta kepada institusi agama merangkumi bantuan kepada pihak masjid sebanyak RM4.3 juta, surau (RM3.1 juta) dan sekolah rendah agama (RM1 juta).