HULU LANGAT, 12 JAN: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menghulur sumbangan wang tunai RM3,000 kepada legenda bola sepak Selangor, Azman Adnan, hari ini.
Ketuanya Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban dan menampung kos pembedahan bekas penyerang Red Giants itu yang mengalami kecederaan lutut.
“Azman mengalami kecederaan lutut sejak sekian lama dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari terpanggil bersama-sama untuk memberikan sumbangan.
“Yayasan MBI berharap pembedahan ini berjalan dengan baik dan saudara Azman Adnan dapat kembali berkhidmat dalam bola sepak khususnya di negeri Selangor,” katanya.
Ditemui selepas melawat Azman di kediamannya, Azri berkata Yayasan MBI komited memastikan kebajikan bekas atlet negeri ini sentiasa dibela, dihargai dan mendapat bantuan sewajarnya atas sumbangan mereka.
“Bukan sahaja dalam bidang bola sepak, ramai atlet termasuk olahraga, setiap kes yang diberitahu kepada Yayasan MBI kita akan santuni,” ujarnya.
[caption id="attachment_681702" align="alignnone" width="856"] Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berbual mesra dengan legenda bola sepak Selangor, Azman Adnan ketika menziarahi beliau di Hulu Langat pada 12 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu, Azman meluahkan rasa terharu atas keprihatinan yang ditunjukkan Dato’ Menteri Besar dan sumbangan itu akan digunakan untuk menampung kos pembedahan di Hospital Kuala Lumpur, esok.
“Walaupun saya sudah lama bersara dalam bola sepak, tetapi Dato’ Seri Amirudin Shari masih menghargai jasa pemain yang pernah menaikkan nama Selangor dan Malaysia suatu ketika dahulu.
“Keadaan lutut yang saya yang bengkok menjejaskan rutin harian dan selepas pembedahan dijangka akan berehat dalam tempoh enam hingga lapan bulan,” kongsinya.
Untuk rekod, Azman pernah memenangi beberapa gelaran bersama Selangor seperti Liga Malaysia. Piala Malaysia dan Piala FA.
Penyerang yang pernah dilabel sebagai jelmaan Mokhtar Dahari itu mula mencetuskan fenomena ketika menyarung jersi Selangor FC dengan meledak 147 gol dari 1993 hingga 1998.