Selangor mengorak langkah besar untuk menjadi destinasi pelancongan terhangat di Malaysia pada tahun ini sekali gus melancarkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Masih banyak lokasi menarik belum diteroka, ada taman rekreasi, kedai makan, tempat bersejarah, pusat perkelahan dan pusat beli-belah.
Wartawan NAZLI IBRAHIM dan ABDUL RAHIM SABRI mengesyor lebih 40 lokasi pelancongan unik di sembilan daerah yang boleh dilawat dengan keluarga dan rakan.
Layari pautan visitselangor2025.my ataupun ikuti media rasmi Tourism Selangor untuk lebih banyak lokasi lain.
Tunggu apa lagi? Rancang perjalanan anda ke Selangor sekarang dan alami sendiri kemeriahan TMS2025. Selangor Kan Ada!
Sabak Bernam
1.Pantai Siput
Tempat nikmati pemandangan matahari terbenam antara pantai tercantik Selangor. Terletak di Jalan Bumi Hijau, ia juga tumpuan kaki pancing
2.Restoran Nam Tai
Kedai ala kopitiam ini mengekalkan ciri klasiknya, menyediakan hidangan nasi lemak, kuih muih tradisi Melayu dan mi hailam
3.Sabuck
Peminat kopi boleh berkunjung ke kafe di Parit 4, Sungai Besar jika ingin bersantai sambil menghirup udara segar di tengah sawah padi
4.Dulang Rtok
Kedai makan dengan dekorasi klasik menghidangkan teh dan kopi arang. Kedai di Batu 39 menghidangkan kari kaki ayam, roti telur goyang, pulut dan sambal hijau
5.Masjid Lama Panchang Bedena
Dibina pada 1905 dikenali sebagai ‘Masjid Jin’ Panchang Bedena. Dihiasi seni bina tradisi antaranya empat tiang seri berusia lebih 100 tahun yang tidak dipaku
Kuala Selangor
[caption id="attachment_681649" align="aligncenter" width="794"] Husin Fauzi Farm, Kampung Teluk Penyamun, di Kuala Selangor[/caption]
1.Husin Fauzi Farm
Terletak di pertengahan Kuala Selangor, pelawat boleh menunggang atau memegang kuda, lembu, kambing dan arnab di situ
2.Taman Alam Kuala Selangor
Terdapat 156 spesies burung yang 57 daripadanya burung migrasi yang berhijrah dari Siberia dan Rusia
3.Kelip-Kelip Kampung Kuantan
Orang ramai boleh menaiki sampan sambil melihat kelip-kelip spesies ‘pteroptyx tener’ dan mengeluarkan kerlipan cahaya pada kadar tiga sesaat
4.Masjid Raja Lumu
Dibina di tapak bekas Masjid Lama Kuala Selangor dan dirasmikan sebagai Masjid Diraja ke-9 di Selangor, terletak di kaki Bukit Melawati
5.Warung Ibu Nasi Ambeng
Nikmati makanan warisan negeri di gerai yang sudah lama popular di Kuala Selangor ini
Hulu Selangor
[caption id="attachment_681642" align="aligncenter" width="722"] Rumah Hutan Bonda Rozita Ibrahim, Batang Kali di Hulu Selangor[/caption]
1.Rumah Hutan Bonda Rozita Ibrahim
Terletak di tepi sungai, perkampungan mewah ini menawarkan penginapan tepi sungai dan dalam hutan. Tetamu juga boleh menikmati ikan lunak di restorannya
2.Bukit Kutu
Laluan mendaki 6.5 kilometer yang mencabar dan melalui pelbagai bentuk muka bumi, serta hutan tebal dan lintasan sungai
3.Berkayak di Kuala Kubu Bharu
Peminat sukan air boleh merasai pengalaman berkayak sejauh lapan kilometer di bahagian hulu Sungai Selangor yang mempunyai jeram besar
4.Terminal 1
Restoran berkonsepkan penerbangan di Batang Kali ini menyediakan hidangan barat dan nusantara. Menu istimewa asam pedas ekor lembu dan burung unta salai
5.Perigi Tujuh Serendah
Pengunjung berpeluang melihat kunci air berusia lebih 100 tahun tinggalan zaman kolonial yang masih teguh di Serendah. Ia kawasan rekreasi yang terjaga rapi
Gombak
[caption id="attachment_681648" align="aligncenter" width="761"] Gua Lepak, Batu Caves di Gombak[/caption]
1.Big Bucket Splash
Terletak di Gamuda Gardens Rawang, antara permainan menarik, towering slides, shallow pool dan rain bucket
2.Alang Manja Resort
Terletak di Batu 12 Gombak, tempat percutian ini menawarkan gazebo dan tapak perkhemahan, pengunjung boleh mandi di sungai atau kolam
3.Gua Lepak
Pengunjung boleh menikmati pelbagai makanan yang dijual di situ sambil menikmati suasana dalam gua. Juga disediakan tayangan skrin besar, karaoke dan snuker
4.Taman Ekstrem Gua Damai
Terletak di Kampung Melayu Wira Damai, Batu Caves. Selain mendaki, peminat sukan lasak juga gemar menyertai terjunan bebas
5.Taman Eko Rimba Sungai Kanching
Antara destinasi eko pelancongan popular, mempunyai tujuh lapisan air terjun dengan ketinggian 208 meter
Klang
[caption id="attachment_681643" align="aligncenter" width="761"] Masjid Jamek Cina Muslim, Bandar Botanik di Klang[/caption]
1.GM Klang
Pusat borong terbesar di Malaysia, menawarkan lebih 2,500 kedai dan diiktiraf sebagai Duta Pelancongan Bandar Klang oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang
2.Pulau Ketam
Pulau terletak di pesisir pantai Pelabuhan Klang. Perlu menaiki feri atau bot di Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan. Tempat menarik Rumah Pelangi dan Tokong Ular
3.Taman Kucing Klang
Terletak di Bandar Bukit Raja, taman ini melindungi kucing jalanan dengan persekitaran selesa. Selain bermain, pengunjung boleh mengambil kucing untuk dipelihara
4.Masjid Jamek Cina Muslim
Dibina di Bandar Botanik, masjid menampilkan seni bina tradisi Cina dengan mengambil inspirasi Masjid Xi'an di China
Petaling
[caption id="attachment_681655" align="aligncenter" width="795"] Muzium Coklat, Kota Damansara di Petaling[/caption]
1.Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Terletak di tengah bandar raya Shah Alam, masjid terkenal dengan jolokan masjid biru juga dianjur program popular, Festival Turath Islami Selangor
2.Bukit Gasing
Ketinggian bukit sekitar 160 meter dengan laluan trek yang berpusing. Menariknya antara tempat pendaki berlatih sebelum ke Gunung Kinabalu
3.Muzium Coklat
Lokasinya di Kota Damansara. Selain mempamerkan sejarah coklat, pengunjung boleh membeli belah
4.Muzium Petaling Jaya
Terletak di pusat bandar, muzium ini dibahagikan beberapa zon bermula sejarah kelahiran Petaling Jaya hinggalah pasca pengisytiharan sebagai bandar raya
Hulu Langat
[caption id="attachment_681645" align="aligncenter" width="814"] Kajang Street Art, Kajang di Hulu Langat[/caption]
1.Teduhan Langat Retreat
Lokasi percutian lengkap dengan penginapan dan taman tema beserta gelongsor air dekat Kampung Padang
2.Kafe Kebun Puisi
Pengunjung boleh mengikuti kata-kata artis dan budayawan yang ditulis pada dinding premis. Beroperasi Sabtu dan Ahad, jam 8 pagi hingga 6 petang
3.Lilla Rainforest Retreat
Tempat percutian seisi keluarga berlatar ketenangan alam semula jadi untuk berehat dari kesibukan kota pada hujung minggu
4.Gabrielle Mille Crepe
Pernah tular di Ipoh, kafe pastri ala Itali itu kemudian dibina di Bangi menyediakan aneka croissant dan pelbagai jenis kek dan manisan
5.Kajang Street Art
Lorong dipenuhi mural khususnya sejarah bandar Kajang yang dilukis pada dinding bangunan, sesuai untuk orang ramai bergambar kenangan
Kuala Langat
[caption id="attachment_681646" align="aligncenter" width="764"] Taman Tema SplashMania, Gamuda Cove di Kuala Langat[/caption]
1.Jungle Gym
Pusat permainan keluarga terbesar di Quayside Mall, Teluk Panglima Garang. Bayaran dewasa RM10 pada hari bekerja atau cuti umum
2.Heritaste
Pembuat dan penjual kacang tumbuk dari dua generasi keluarga di Jenjarom. Diasaskan sejak 1984 harga sebungkus RM12
3.SplashMania Water Theme Park
Taman tema air pertama dibuka pada waktu malam di Gamuda Cove dan beroperasi dari 7 hingga 11 malam, setiap Jumaat dan Sabtu
4.Warung Ibu
Menikmati sarapan pagi menu tempatan di Jalan Sungai Rambai, Jenjarom. Hidangan popular mi rojak. Beroperasi setiap hari kecuali Rabu seawal jam 6.30 pagi
5.Morib Coconut Grove
Terletak dekat Banting dikelilingi pohon kelapa, pengunjung boleh bergambar di kawasan ini
Sepang
[caption id="attachment_681647" align="aligncenter" width="747"] RUD Karting Gamuda Cove, Dengkil di Sepang[/caption]
1.Utan Cafe
Tempat makan dengan suasana tenang ala hutan sambil menghirup udara segar. Terletak di Bandar Baru Salak Tinggi. Antara juadah ketam bunga masam manis dan cendawan goreng Tepung. Buka setiap hari kecuali Isnin
2.RUD Karting Gamuda Cove
Terletak dekat Dengkil, terdapat Go-kart elektrik atau petrol untuk kanak-kanak hingga dewasa. Buka setiap hari mulai 10 pagi hingga 12 tengah malam
3.Warung Taman Klasik Rumbia
Terletak di Salak Tinggi, restoran ini menyediakan pelbagai hidangan masakan asli dengan suasana kampung. Antara juadahnya nasi lemak telur mata dan paru
4.Hilltop Cuisine
Terletak di Kota Warisan, pengunjung boleh menikmati pemandangan matahari terbenam dari puncak bukit sambil merasai makanan di restoran ini
5.Redup Kopi & Salai
Peminat minuman kopi boleh berkunjung sambil menikmati lempeng gebu cicah sambal ikan bilis. Terletak di Dengkil, beroperasi 8 pagi hingga 6 petang