ad
AGENDA

Polis sahkan wujud unsur cuai, bayi ditinggal tanpa pemantauan

11 Jan 2025, 4:43 AM
Polis sahkan wujud unsur cuai, bayi ditinggal tanpa pemantauan

SHAH ALAM, 11 JAN: Terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) berhubung kes kematian  bayi lelaki berusia empat bulan, 3 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Akmalrizal Radzi berkata siasatan awal mendapati kecuaian atau pengabaian pengasuh adalah meninggalkan mangsa tanpa pemantauan sewajarnya dalam tempoh lama.

"Siasatan masih berjalan dan setakat ini enam keterangan telah diambil termasuk daripada suspek iaitu pengasuh. Kita juga dalam proses untuk melakukan tangkapan terhadap suspek.

“Polis juga masih menunggu keputusan makmal bagi mengetahui punca sebenar kematian bayi berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor susulan terdapat beberapa arahan yang perlu diambil sebelum ia dikemukakan ke pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mohd Akmalrizal dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah klinik di Bandar Saujana Putra di Kuala Langat pada 3.29 petang, 3 Januari lalu mengenai seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dibawa oleh pengasuh taska ke klinik terbabit.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim sebelum ini dilaporkan berkata taska yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi itu telah diarahkan tutup pada Selasa lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.