ad
EXCO

EXCO: Negeri runding taja kepuk, batu nisan pindah kubur di Selat Klang

10 Jan 2025, 2:52 PM
EXCO: Negeri runding taja kepuk, batu nisan pindah kubur di Selat Klang
EXCO: Negeri runding taja kepuk, batu nisan pindah kubur di Selat Klang

SHAH ALAM, 10 JAN: Kerajaan Negeri dalam proses perundingan dengan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi tujuan penajaan pembinaan kepuk dan batu nisan baharu susulan berakhirnya proses pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dekat sini semalam.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata langkah berkenaan diambil sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap waris dan ahli keluarga yang terlibat.

“Kita faham, sewaktu proses pengalihan ini ada kepuk dan batu nisan pecah dan sebagainya, jadi kita sedang berunding dengan pihak ECRL untuk mereka menyumbang bagi memudahkan urusan waris yang berhasrat menziarah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Ahmad Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata 90 plot kubur di tanah perkuburan itu yang terlibat dengan jajaran ECRL selesai dialihkan menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang dilakukan secara berperingkat bermula Isnin lalu.

[caption id="attachment_673768" align="alignleft" width="388"] EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah ditemui media pada majlis penutup Kursus Persediaan Pelajar ke Luar Negara anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut, Dr Fahmi berkata proses penggaliann pengalihan itu dilakukan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) sewajarnya dengan kerjasama Kementerian Kesihatan serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau turut memberi jaminan semua pihak memainkan peranan dengan baik dalam memastikan jenazah dikuburkan semula secara tepat dan berdasarkan hukum yang sah.

“Kita ada terima makluman, ada beberapa waris tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan melihat proses ini, namun harus diingat ada antara jenazah terlibat meninggal dunia akibat Covid-19, jadi atas faktor itu dan faktor keselamatan lain, kita perlu ambil langkah sepatutnya.

“Waris juga tidak perlu risau, kita mengikut SOP dengan kerjasama KKM dan Jabatan Forensik PDRM turut melakukan ujian DNA supaya semua jenazah dikuburkan semula dengan betul dan tidak berlaku kesilapan,” katanya.

Laluan ECRL di negeri ini melibatkan jajaran sepanjang 90.72 kilometer melalui daerah Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Klang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.