SHAH ALAM, 10 JAN: Projek Turapan Mega memperuntuk RM50 juta bermula April depan, kata EXCO Infrastruktur.
Dato’ Ir Izham Hashim berkata dengan menggunakan jentera Jetpatcher, projek tidak hanya memfokuskan jalan raya kendalian pihak berkuasa tempatan sahaja sebaliknya pejabat daerah, pertanian dan Jabatan Kerja Raya negeri.
“Sebelum ini kita hanya fokus jalan di bawah pihak berkuasa tempatan sahaja, namun tahun ini semua jalan termasuk di kawasan kampung akan diturap sekiranya memerlukan.
“Kita telah arahkan semua agensi kenal pasti jalan raya yang rosak teruk dan perlu diturap segera selain kawasan kerap menerima aduan,” katanya kepada Media Selangor hari ini.
[caption id="attachment_586707" align="aligncenter" width="931"] Petugas Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) melaksanakan kerja menurap di Jalan Persiaran Elmina 1/1, Kuala Selangor pada 11 Jun 2023. Foto X Infrasel[/caption]
Ir Izham memaklumkan turapan jalan menggunakan jentera Jetpatcher berteknologi tinggi dari United Kingdom itu mempercepatkan proses turapan tiga kali ganda.
“Kebiasaannya turapan jalan mengambil masa lebih satu jam tetapi dengan adanya mesin bernilai RM2 juta ini prosesnya tidak sampai 30 minit.
“Bukan itu sahaja, kualitinya juga lebih kuat dan baik kerana turapan baharu lebih melekat dengan jalan lama kerana bahan tampalan lebih panas,” katanya.
Ketika pembentangan Belanjawan Negeri 2025, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi Projek Turapan Mega yang dikendalikan Infrasel Sdn Bhd selaku syarikat penyelenggara jalan negeri.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan projek itu diteruskan berikutan Kerajaan Negeri yang sentiasa cakna terhadap rungutan dan laporan rakyat berhubung isu kerosakan jalan yang memberi risiko kepada keselamatan dan keselesaan pengguna.
[caption id="attachment_662668" align="aligncenter" width="932"] Demonstrasi menampal jalan menggunakan Jetpatcher Infrasel di Dataran Pahlawan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]