PUTRAJAYA, 10 JAN: Permohonan pendaftaran dua Taman Asuhan Kanak-kanak (taska) di Selangor dan Sarawak yang terbabit insiden kematian serta kecederaan bayi baru-baru ini akan diteliti semula, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan permohonan taska berkenaan susulan ia berada di bawah tindakan pihak polis.
“…kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak yang telah meninggal dunia (kes di Selangor). Ada perkara lain juga yang membuat kita sedikit berhati-hati untuk meluluskan, jadi perlu pertimbangan teliti kerana kalau kita meluluskan begitu sahaja, ia boleh melibatkan keselamatan kanak-kanak itu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran plak taska berdaftar di Taska Seri Kandi, Jabatan Audit Negara di sini hari ini.
Media melaporkan bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra, Selangor.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada doktor di sebuah klinik di Bandar Saujana Putra pada 3.29 petang 3 Januari lalu mengenai bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri yang dibawa pengasuh taska ke klinik terbabit.
Sementara itu, kes di Batu Kawa, Kuching, Sarawak pula melibatkan bayi berusia lapan bulan yang didapati mempunyai bekas gigitan pada bahagian belakang badan dan susulan itu, polis menahan tiga wanita terdiri pemilik taska dan dua penjaga premis bagi membantu siasatan.
Difahamkan kedua-dua taska itu tidak berdaftar dan kini dalam proses untuk permohonan lesen operasi.
Mengenai statistik penguatkuasaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak berkaitan taska, beliau berkata 97 tindakan diambil seluruh negara sepanjang 2024 iaitu 61 taska dibatalkan pendaftaran, kompaun (22), tindakan penguatkuasaan plak (lapan), tutup sementara (lima) dan satu diberikan arahan bertulis.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Nancy berkata inisiatif plak taska berdaftar itu merupakan usaha dan penyelesaian yang memudahkan semua pihak mengetahui status legitimasi taska selain menyemak di laman sesawang www.jkm.gov.my.
Beliau berkata setakat ini terdapat 3,198 taska berdaftar dengan KPWKM dan setiap taska itu perlu memasang atau menampal plak pendaftaran berkenaan di bahagian yang mudah dilihat di premis taska.
“Saya menyeru semua pihak yang ingin mengoperasikan taska agar segera berdaftar seperti diperuntukkan undang-undang, serta untuk meningkatkan lagi keyakinan ibu bapa dan penjaga terhadap perkhidmatan pengasuhan yang disediakan di Malaysia,” katanya.
- BERNAMA