ad
AGENDA

Tujuh penjawat awam antara 17 individu ditahan bantu kes pindah milik tanah

10 Jan 2025, 8:18 AM
Tujuh penjawat awam antara 17 individu ditahan bantu kes pindah milik tanah

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Seramai 17 individu termasuk tujuh penjawat awam dari sebuah pejabat tanah dan galian (PTG) di Selangor ditahan sehingga kini bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di pejabat berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mereka berusia 33 hingga 57 tahun dan pihaknya sedang mempergiat usaha mengesan individu lain yang disyaki terbabit dalam kegiatan itu.

Beliau berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan berkenaan dilakukan secara bersindiket dengan penglibatan 'orang dalam’ di pejabat berkenaan.

“Siasatan awal mendapati sindiket ini mengupah ‘orang dalam’ untuk mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod berkaitan pindah milik hartanah.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti pembabitan individu lain dalam jenayah ini,” katanya pada sidang media di pejabat JSJK Bukit Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ramli berkata jenayah terbabit tidak mungkin berlaku tanpa penglibatan ‘orang dalam’ dan menasihatkan orang ramai untuk tidak bersekongkol dengan sindiket itu.

“Ada kes yang kita terima, nama (pemilik tanah) telah hilang daripada pemilikan tanahnya selepas periksa di pejabat tanah. Proses ini (pertukaran nama) sangat rumit, ia tidak akan berlaku sewenang-wenangnya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seramai 17 individu ditahan dalam tangkapan berasingan sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel pindah milik tanah.

Setakat ini, tujuh kes sedang disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.