ad
AGENDA

Cederakan dua pereka fesyen, polis reman seorang jurugambar

9 Jan 2025, 1:20 PM
Cederakan dua pereka fesyen, polis reman seorang jurugambar

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Polis mereman seorang lelaki tempatan selepas disyaki menyerang sehingga mendatangkan kecederaan ke atas dua pereka fesyen di sebuah hotel di Petaling Jaya malam semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja’afar dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian berkenaan pada 11 malam semalam.

“Suspek seorang jurugambar berumur 30 tahun telah ditahan di tempat kejadian, manakala mangsa, dua lelaki tempatan berumur 53 dan 47 tahun mengalami kecederaan di pipi. Turut dirampas adalah sebuah kamera yang digunakan sebagai senjata dalam kejadian.

“Punca kejadian dipercayai disebabkan isu peribadi,” katanya.

Shahrulnizam berkata suspek direman selama dua hari bermula hari ini sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, media melaporkan dua pereka fesyen telah diserang oleh seorang jurugambar pada acara di sebuah hotel di Petaling Jaya malam semalam.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.