ad
AGENDA

SKMM rakam percakapan ADN Sungai Burong, isu hantaran palsu babit PM

9 Jan 2025, 8:06 AM
SKMM rakam percakapan ADN Sungai Burong, isu hantaran palsu babit PM

SHAH ALAM, 9 JAN: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam percakapan Ahli Dewan Negeri Sungai Burong Mohd Zamri Mohd Zainuldin susulan hantaran palsu mengenai perdana menteri di Facebook hujung tahun lalu.

SKMM dalam kenyataan berkata keterangan wakil rakyat daripada Perikatan Nasional (PN) itu diambil pada 7 Janauri lalu bagi membantu siasatan polis selepas akaun Facebooknya didapati antara didakwa memuat naik hantaran palsu.

Menurut kenyataan, Dr Mohd Zamri yang turut dikenali sebagai Ustaz Zamri Mantop disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama polis, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut,” kata suruhanjaya itu menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, SKMM memohon orang ramai berhati-hati memuat naik sebarang hantaran di media sosial dan memastikan maklumat yang disebarkan adalah benar dan sahih.

“Langkah ini bagi menjamin persekitaran dalam talian yang berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Pada 2 Januari, setiausaha politik Dato’ Menteri Besar mengingatkan Mohd Zambri untuk mempamer etika dan integriti lebih tinggi selaku wakil rakyat, bukannya menjadi ejen penyebar fitnah.

Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan tindakan Mohd Zambri itu memalukan memandangkan beliau merupakan pemimpin politik dan guru agama.

Terdahulu, hantaran di laman Facebook Mohd Zamri berkongsi poster menunjukkan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim bersolidariti terhadap aktivis Iswardy Morni yang didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong melalui Facebook tiga tahun lalu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.