SHAH ALAM, 9 JAN: Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Jumaat lepas telah diarahkan tutup pada Selasa.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim berkata pihaknya mendapat pemakluman mengenai insiden berkenaan daripada polis pada Ahad lepas.
"JKM kemudiannya hadir ke Taska pada Isnin dan mengarahkan untuk menutup operasi sehari selepas itu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan dipercayai meninggal dunia di sebuah taska di Bandar Saujana Putra dekat sini pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah klinik di Bandar Saujana Putra pada 3.29 petang, Jumaat (3 Jan) mengenai seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dibawa oleh pengasuh taska ke klinik terbabit.
Beliau berkata polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2011 dan merekodkan keterangan pengusaha serta pekerja taska, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini.
-BERNAMA