ad
BERITA UTAMA

Dampak Titah Addendum: Dari skandal 1MDB hingga kontroversi tahanan rumah

9 Jan 2025, 5:42 AM
Dampak Titah Addendum: Dari skandal 1MDB hingga kontroversi tahanan rumah

SHAH ALAM, 9 JAN: Skandal kewangan badan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan banyak negara dan menarik perhatian dunia sejak 2015.

Pengerusinya Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah dalam satu daripada lima kes besar melibatkan dana berbilion-bilion ringgit.

Untuk mengurangkan hukuman berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1MDB, beliau memohon pengampunan diraja.

Namun setelah Najib mendapat pengurangan yang ketara, tiba-tiba muncul isu “titah addendum”, keputusan tambahan daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai pengerusi Lembaga Pengampunan.

Persoalannya sekarang, titah ini tidak disertakan dalam keputusan kepada Jabatan Penjara. Ia hanya diketahui daripada surat Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025.

Apa kesannya jika titah ini diterima, atau ditolak, oleh mahkamah? Soalnya lagi, bagaimanakah tatacara tahanan di rumah yang setakat ini tiada peruntukan undang-undang?

Pecah amanah, salah guna RM42 juta dana SRC International

  • 4 Julai 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berjumlah RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
  • 8 Ogos 2018 - Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama
  • 28 Julai 2020 - Mahkamah Tinggi jatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas Najib didapati bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan
  • 8 Disember 2021 - Mahkamah Rayuan kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
  • 23 Ogos 2022 - Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat bersama empat lagi hakim kekalkan sabitan dan hukuman penjara
  • 23 Ogos 2022 - Najib jalani hukuman di Penjara Kajang
  • 2 September 2022 - Najib fail petisyen untuk pengampunan Yang di-Pertuan Agong

Semakan titah addendum

  • 29 Januari 2024 - Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan, Labuan dan Putrajaya ke-61 dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong buat keputusan
  • 2 Februari 2024 - Keputusan Lembaga Pengampunan diumumkan:

    - tempoh pemenjaraan dikurangkan separuh (enam tahun) sehingga 23 Ogos 2028, dan

    - denda dikurangkan hanya RM50 juta. Jika gagal dibayar, tempoh penjara dilanjutkan setahun lagi hingga 23 Ogos 2029

  • 1 April 2024 - Najib failkan semakan kehakiman untuk mendapatkan titah addendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
  • 3 Julai 2024 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak semakan kehakiman atas hujah titah tersebut sekadar cakap dengar
  • 6 Januari 2025 - Mahkamah Rayuan memutuskan titah tersebut memang wujud dan perintah semakan kehakiman boleh diteruskan di Mahkamah Tinggi

    - Peguam Najib dedahkan surat Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Januari 2025 yang sahkan wujudnya titah addendum mengenai tahanan di rumah

Kenyataan Menteri Dalam Negeri

6 Januari 2025 - Sidang media Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail:

  • Jabatan Penjara terima keputusan Lembaga Pengampunan Bagi Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61
  • Surat itu ada dua perkara: minit mesyuarat, dan Perintah Pembebasan Awal
  • Kedua-dua dokumen tidak sebut addendum agar Najib dikenakan tahanan di rumah

EMPAT KES LAGI, DUA BELUM SELESAI

Suapan, ubah wang haram RM2.3 bilion dana 1MDB

  • 20 September 2018 - Najib dihadap dengan 25 pertuduhan peroleh suapan dan mengubah wang haram berjumlah RM2.28 bilion dana 1MDB
  • 30 Oktober 2024 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintahkan Najib bela diri
  • 6 Januari 2025 - Perbicaraan kes itu ditangguhkan, Najib dilaporkan tidak sihat akibat kurang tidur

Pecah amanah RM6.6 bilion bayar kepada IPIC

  • 25 Oktober 2018 - Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dihadap enam tuduhan pecah amanah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC)
  • 27 November 2024 - Mahkamah Tinggi lepas tanpa bebaskan (DNAA) dua tertuduh daripada kes ini

Pinda laporan audit 1MDB sebelum bentang pada PAC

  • 12 Disember 2018 - Najib bersama bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy dituduh arah pindaan laporan audit akhir syarikat itu sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)
  • 3 Mac 2023 - Mahkamah Tinggi bebas dan lepas dua tertuduh dengan hujah pendakwaan gagal bukti wujud prima facie
  • 12 September 2023 - Mahkamah Rayuan kekal keputusan Mahkamah Tinggi yang bebas dan lepas mereka daripada pertuduhan

Pengubahan wang haram RM27 juta dana SRC

  • 3 Februari 2019 - Najib dituduh terima wang RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya
  • 31 Julai 2024 - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapkan 21 April 2025 untuk mulakan perbicaraan atas alasan sibuk dengan kes 1MDB

Sumber: Laporan pelbagai media

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.