ad
AGENSI

MBI pelawa syarikat berkelayakan kerjasama bangun pengurusan parkir pintar

8 Jan 2025, 12:30 PM
MBI pelawa syarikat berkelayakan kerjasama bangun pengurusan parkir pintar

SHAH ALAM, 8 JAN: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berhasrat mewujudkan pengurusan parkir yang bakal menawarkan faedah dan kemudahan kepada rakyat.

Justeru, agensi itu mempelawa mana-mana syarikat yang berpengalaman dan berkelayakan untuk bekerjasama membangunkan projek pengurusan Tempat Letak Kereta (TLK).

"Pemilihan syarikat dilaksanakan melalui proses permintaan untuk cadangan (RFP) bagi memberikan peluang yang saksama kepada syarikat yang berminat.

"Dokumen RFP boleh dimuat turun menerusi di www.mbiselangor.com mulai 8 Januari dan semua cadangan hendaklah dihantar sebelum 12 tengah hari pada 22 Januari," katanya dalam kenyataan hari ini.

MBI memberitahu TLK dapat mempertingkat tahap kecekapan melalui pemantauan masa nyata dan ketersediaan, memastikan penggunaan ruang yang optimum dan mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak.

"Sistem ini bakal mengintegrasikan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data untuk operasi yang lebih cekap. Melalui pengurusan berpusat dan sistem pembayaran automatik, ia akan memudahkan operasi serta mengurangkan kos dengan cara yang lebih efisien dan mesra pengguna.

"Selain itu, sistem tersebut juga akan dapat memenuhi keperluan pengguna dengan memberi nilai tambah melalui ketersambungan dengan perkhidmatan lain seperti aplikasi Super App dan DemandResponsive Transit (DRT)," katanya.

MBI turut memaklumkan pengurusan tempat letak kereta pintar itu antara lain berperanan menyokong matlamat yang lebih luas termasuk memacu transformasi digital Selangor melalui keputusan berasaskan data.

"Sistem pengawasan bersepadu meningkatkan keselamatan dengan membolehkan pengesanan dan pelaporan inisiden, di samping menampilkan inisiatif mesra alam seperti pengurangan pelepasan karbon dalam usaha mempromosikan mobiliti bandar yang lestari," katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.