SHAH ALAM, 8 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan tidak berlaku suhu panas luar biasa tahun ini.
Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata jangkaan itu kerana tiada pengaruh fenomena El Nino yang diramal berlaku pada tahun ini, lapor portal Harian Metro.
Namun, katanya, semasa fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) dan memasuki fasa peralihan monsun dari Februari hingga Mei, kebanyakan kawasan di negara terutama Utara Semenanjung dan pedalaman Pahang, Kelantan dan Perak cenderung mengalami peningkatan suhu maksimum harian akibat kurang litupan awan yang membawa kepada pengurangan taburan hujan.
"Dalam tempoh ini, kawasan terbabit berpotensi mengalami cuaca yang lebih panas daripada kebiasaan dengan suhu melebihi 35 darjah celsius.
"Malah, ia boleh mencapai tahap gelombang haba apabila suhunya melebihi 37 darjah celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
"Suhu maksimum harian tertinggi yang pernah dicatatkan negara adalah 40 darjah celsius yang dicerap di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998 semasa fenomena El Nino kuat melanda dunia.
"Tahun 2024 diiktiraf sebagai tahun paling panas dalam sejarah dunia menurut laporan State of the Climate 2024 yang dikemaskini oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada 11 November 2024 ketika persidangan Perubahan Iklim UNFCCC COP29 di Baku, Azerbaijan.
"Malaysia menduduki tangga keempat dalam senarai tahun paling panas pada 2024 dengan purata suhu harian 27.55 darjah celsius dengan peningkatan sebanyak 0.38 darjah celsius berbanding purata suhu jangka panjang dari 1991 hingga 2020," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Laporan Pemantau Air Global 2024 yang diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik antarabangsa diketuai Albert van Dijk dari Australian National University (ANU), mendapati peningkatan suhu akibat perubahan iklim sedang mengubah cara air bergerak di seluruh dunia.
Menurut laporan itu, sebanyak 111 negara yang merangkumi kira-kira separuh populasi dunia mencatatkan tahun paling panas dalam sejarah pada 2024.
Van Dijk memaklumkan suhu udara di daratan pada 2024 adalah 1.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding permulaan abad ke-21 dan 2.2 darjah celsius lebih tinggi berbanding permulaan Revolusi Perindustrian.