SHAH ALAM, 8 JAN: Proses pemindahan kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijalankan mengikut fatwa, hukum syarak dan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.
EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata tindakan dibuat mengikut fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor dan SOP dikuat kuasa Jabatan Agama Islam (Jais) atas tujuan kemaslahatan orang awam.
“Berpandukan mazhab Imam Syafie, kubur tidak boleh dipindah dalam empat tahun, jika kurang dari tempoh ini untuk kepentingan masyarakat seperti bina jalan dan laluan rel, tidak melanggar hukum.
“Seterusnya, mengikut SOP oleh Jais, bahagian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) dan tulang kubur yang dipindahkan tidak boleh bercampur dengan orang lain.
“Kontraktor yang dilantik juga tidak boleh membuat kerja pemindahan jika cuaca kurang baik terutama ketika hujan kerana menyukarkan keadaan,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas mengenai rungutan waris tidak diberikan sebarang notis berhubung penggalian dan pemindahan kubur, Fahmi menegaskan pindahan dibuat mengikut SOP yang ketat bagi menjaga aib.
“Pemindahan dibuat adalah bersebab yang mengutamakan kemudahan buat orang ramai. Ia juga berpandukan hukum syarak selepas Jabatan Mufti Negeri mengambil kira pelbagai pertimbangan.
“Setakat ini, tiada isu membabitkan pemaju dan pembinaan pembangunan,” katanya lagi.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan rungutan waris tidak diberikan sebarang notis berhubung penggalian 90 kubur di kawasan berkenaan.
Waris turut mendakwa pihak berkuasa tempatan tidak menjawab pertanyaan waris, malah tiada proses undian sama ada bersetuju atau tidak untuk pemindahan tersebut.
Tahun lalu, penduduk menyuarakan bantahan menerusi memorandum tiga muka surat berikutan pemindahan 90 tapak kubur bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Tuntutan itu termasuk surat permohonan pemindahan kubur daripada ECRL kepada Jais, menuntut sekurang-kurangnya seorang waris dibenarkan melihat proses pemindahan berkenaan.