ad
AGENDA

LHDN: e-PCB Plus ganti sistem potongan cukai sedia ada

8 Jan 2025, 5:07 AM
LHDN: e-PCB Plus ganti sistem potongan cukai sedia ada

PUTRAJAYA, 8 JAN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memperkenalkan sistem perkhidmatan Potongan Cukai Bulanan (PCB) baharu, e-PCB Plus, bagi menggantikan sistem sedia ada iaitu e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 di bawah satu platform menerusi portal MyTax.

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelaksanaan berkenaan seiring dengan pelan peralihan ke arah sistem e-PCB Plus Fasa 1 yang bermula 24 September lalu.

Ia melibatkan fungsi pendaftaran peranan majikan, wakil majikan dan pentadbir PCB di MyTax dan wakil pentadbir di e-PCB Plus bagi seluruh majikan yang terlibat dengan PCB.

“Susulan pelaksanaan sistem perkhidmatan baharu ini, majikan diminta menyelesaikan semua pengemukaan data dan bayaran PCB bagi potongan bulan semasa atau potongan tahun kebelakangan pada atau sebelum 15 Januari 2025,” menurut kenyataan itu.

LHDN memaklumkan mulai 15 Januari ini, sistem PCB sedia ada hanya dibuka untuk tujuan paparan sahaja bagi membolehkan majikan membuat semakan terhadap maklumat atau rekod PCB terdahulu.

“Fungsi lain seperti pengisian, pengiraan dan bayaran PCB akan ditutup sepenuhnya. Pelaksanaan sistem e-PCB Plus sepenuhnya akan dimaklumkan sebelum dibuka secara rasmi bagi kegunaan seluruh majikan dan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, LHDN menyarankan agar majikan yang sedang menggunakan sistem e-PCB, e-Data PCB dan e-CP39 dan masih belum membuat pendaftaran peranan di sistem e-PCB Plus untuk menyelesaikan semua pengemukaan berkaitan dengan segera bagi melancarkan proses peralihan berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.