ALOR SETAR, 8 JAN: Suami maut, isteri cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan termasuk sebuah treler di KM37.5 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) berhampiran Plaza Tol Hutan Kampung di Jitra, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.26 malam sebelum tiba di lokasi 15 minit kemudian.
“Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler dan dua kereta jenis Toyota Avanza dan Proton Saga. Kemalangan menyebabkan pemandu kereta Proton Saga berusia 50-an meninggal dunia di lokasi manakala isterinya juga berusia 50-an cedera ringan.
“Pemandu kereta Toyota Avanza iaitu lelaki berusia 50-an bersama dua penumpang wanita berusia 20-an serta seorang lelaki berusia 40-an yang memandu treler tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala isteri mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk rawatan.
- BERNAMA