ad
AGENDA

SUKMA 2026: Selangor hasrat hantar atlet jalani latihan luar negara

7 Jan 2025, 10:25 AM
SUKMA 2026: Selangor hasrat hantar atlet jalani latihan luar negara

SHAH ALAM, 7 JAN: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berhasrat menghantar atlet berprestasi tinggi menjalani latihan di luar negara sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Pengarah Eksekutifnya Mohamad Nizam Marjugi berkata antara acara yang melibatkan atlet berprestasi tinggi adalah wushu, angkat berat dan sukan terjun.

“Kita mahu beri pendedahan kepada atlet untuk jalani latihan di luar negara. Sebagai contoh, kita ada 'attachment program' bersama Indonesia bagi sukan angkat berat.

“Dengan adanya latihan di luar negara, mereka juga boleh timba pengalaman dan bertukar angin, sekali gus membantu meningkatkan prestasi menjelang SUKMA,” katanya kepada Media Selangor.

Dalam pada itu, Mohamad Nizam menambah pihaknya sedang melaksana pemilihan ahli sukan SUKMA dengan keputusan barisan atlet awal dijangka diketahui bulan depan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri juga dijangka mengumumkan ketua sekretariat SUKMA selepas mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) esok.

“Mengenai pemilihan atlet, kita memang perlu lakukan persiapan awal kerana kali ini Selangor bukan sekadar menyertai acara, tetapi juga perlu pastikan kejuaraan,” katanya.

Selangor bakal menjadi tuan rumah temasya SUKMA 2026 selepas kali terakhir menjadi tuan rumah sukan berprestij itu pada 1998.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.