SEGAMAT, 7 JAN: Wanita kerugian lebih RM200,000 akibat terperangkap dengan sindiket 'love scam' membabitkan pemberian hadiah berupa wang tunai berjumlah RM4 juta.
Mangsa berusia 41 tahun mengenali suspek bulan lalu melalui satu aplikasi di media sosial dengan lelaki itu mengakui warganegara Switzerland yang bekerja sebagai pramugara.
Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, selepas mengenali suspek hampir seminggu, lelaki itu berjanji memberikan hadiah kepadanya.
Beliau berkata, hadiah dijanjikan wang tunai, barang kemas, telefon bimbit serta kasut yang menyebabkan mangsa tertarik dengan lelaki itu.
"Pada 27 Disember lalu, mangsa dihubungi seorang lagi suspek yang berperanan sebagai ejen penghantaran hadiah yang mana wanita itu perlu membuat bayaran terlebih dahulu.
"Bayaran yang dikenakan itu termasuk untuk sijil pengubahan wang haram, pakej penghantaran urusan import duti resit pengirim dan juga pakej insurans," katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Ahmad Zamry berkata, mangsa kemudian menuruti arahan itu dengan melakukan 48 transaksi memindahkan wang ke akaun diberikan suspek.
Menurutnya mangsa mula menyedari ditipu selepas tidak menerima hadiah dan wang tunai yang dijanjikan.
"Akibatnya, mangsa kerugian RM217,080 lalu membuat laporan polis kelmarin. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.