ad
BERITA UTAMA

EXCO: Permohonan BINGKAS dibuka Februari ini, lebih 7,000 kekosongan

7 Jan 2025, 8:00 AM
EXCO: Permohonan BINGKAS dibuka Februari ini, lebih 7,000 kekosongan

SHAH ALAM, 7 JAN: Permohonan baharu Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) akan dibuka mulai 1 Februari ini melibatkan 7,563 kekosongan.

EXCO kebajikan masyarakat berkata permohonan selama sebulan itu boleh dibuat menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau laman sesawang www.bingkaselangor.com.

“BINGKAS menawarkan bantuan RM300 sebulan selama 24 bulan untuk pembelian barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan pendidikan.

“Setakat permohonan dibuka pada Julai tahun lalu hingga semalam, seramai 22,437 penerima mendapat bantuan ini,” kata Anfaal Saari kepada Selangorkini.

Beliau berkata permohonan akan dibuka setiap tiga bulan bergantung kepada kekosongan yang ada ketika itu.

“Sebab akan ada penerima yang tamat tempoh secara berperingkat selepas dua tahun terima. Jadi jumlah kekosongan bergantung angka ketika itu,” katanya.

BINGKAS merupakan sebahagian daripada 46 insentif Iltizam Selangor Penyayang yang dilancarkan 2022, menggantikan skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal).

Bermula tahun lalu, syarat permohonan baharu BINGKAS dilonggarkan kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini bagi membolehkan lebih ramai menerima manfaatnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.