SHAH ALAM, 7 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan seorang bapa tunggal bersama bayinya yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
LZS menerusi Facebook memaklumkan pihaknya telah berusaha menjejaki lelaki berkenaan di kediamannya menerusi maklumat yang diberikan namun rumah berkenaan tidak berpenghuni.
“Pentadbir (admin) media sosial LZS menghubungi pemilik asal hantaran Facebook tersebut dan mendapat kerjasama dengan dia memberikan maklumat alamat tempat tinggal lelaki tersebut.
“Hasil siasatan ke alamat yang diberikan, pihak kami mengesahkan rumah tersebut tidak berpenghuni dan jiran tetangga juga menyatakan rumah tersebut telah lama dikosongkan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, LZS meneruskan rondaan sehingga lewat petang serta ke lokasi yang digambarkan dalam hantaran tular berkenaan.
Menurut LZS, orang ramai yang mempunyai maklumat tambahan mengenai bapa tunggal berkenaan atau kes bantuan lain boleh berhubung terus dengan media sosial Facebook LZS.
“Bersama kami membantu mustahiq. Teruskan berzakat di LZS. Pastikan maklumat sahih dan lengkap sebelum ditularkan,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial sejak beberapa hari lalu mengenai seorang bapa tunggal bersama bayinya berusia kira-kira tiga bulan, yang menceritakan kesusahan hidup akibat dibuang kerja dan baharu kematian isteri.
Menurut hantaran berkenaan, lelaki itu berusaha mendapatkan bantuan daripada agensi agama namun pegawai yang bertanggungjawab membuat pembayaran bercuti.