SHAH ALAM, 7 JAN: Permohonan Jom Shopping Perayaan Tahun Baharu Cina bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga kini dibuka.
Wakil rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata bantuan perayaan itu boleh dimohon bermula sekarang sehingga 15 Januari ini.
“Pemohon yang layak dijemput hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Tiga untuk mengisi borang permohonan dan menerima baucar bantuan sempena perayaan ini,” katanya menerusi Facebook.
Untuk maklumat lanjut mengenai DUN Batu Tiga, boleh memuat turun Aplikasi MY BT3 melalui pautan Apple Store: https://tinyurl.com/MYBT3apple atau Play Store: https://tinyurl.com/MYBT3android.
Selain Tahun Baharu Cina, inisiatif bawah Iltizam Selangor Penyayang (ISP) turut diberi kepada keluarga kurang mampu untuk menyambut Aidilfitri dan Deepavali.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan RM12 juta diperuntuk bagi baucar Jom Shopping Perayaan.
Sebelum ini, EXCO pembasmian kemiskinan memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM4.76 juta bagi baucar Jom Shopping Perayaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
V Papparaidu berkata 23,800 baucar bernilai RM200 akan diagih pejabat DUN dan penyelaras membabitkan 56 DUN.