ad
AGENDA

Bangladesh keluar waran tangkap terhadap bekas PM Hasina

6 Jan 2025, 2:14 PM
Bangladesh keluar waran tangkap terhadap bekas PM Hasina

DHAKA, 6 JAN: Sebuah tribunal khas di ibu negara Bangladesh, Dhaka, telah mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina dan 11 individu lain berkaitan insiden kehilangan paksa, lapor Xinhua.

Tribunal Jenayah Antarabangsa dua anggota, yang dipengerusikan Hakim Md Golam Mortuza Majumdar mengeluarkan waran itu pada Isnin di Dhaka.

Bekas Penasihat Pertahanan Hasina Mejar Jeneral (B) Tarique Ahmed Siddique, dan bekas Ketua Polis Bangladesh Benazir Ahmed, turut disenaraikan sebagai suspek.

Ketua Pendakwa Raya Tajul Islam memaklumkan kepada wartawan bahawa pihaknya telah memohon waran tangkap untuk keseluruhan 12 individu yang terlibat dalam kes kehilangan paksa itu.

"Antara mereka, Mejar Jeneral Ziaul Ahsan yang telah dipecat, diarahkan untuk dihadapkan ke muka pengadilan kerana beliau sedang berada dalam tahanan. Waran telah dikeluarkan terhadap 11 lagi individu," katanya.

Menurut pendakwa raya, perbicaraan seterusnya dalam kes itu dijadualkan pada 12 Feb.

Media tempatan melaporkan bahawa Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos 2024 selepas kerajaannya tumbang.

Kementerian Luar Bangladesh menghantar satu nota diplomatik kepada New Delhi bulan lepas, meminta Hasina dikembalikan ke Dhaka dari India.

Kementerian Hal Ehwal Luar India kemudian mengesahkan bahawa mereka telah menerima permintaan ekstradisi bekas Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan itu dari Dhaka.

- BERNAMA-XINHUA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.