ad
AGENDA

Penjawat awam kena reman lima hari, disyaki terima rasuah RM50,000

6 Jan 2025, 12:45 PM
Penjawat awam kena reman lima hari, disyaki terima rasuah RM50,000

KUALA TERENGGANU, 6 JAN: Seorang penjawat awam direman lima hari kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM50,000 sebagai balasan menyokong dan memperakukan dokumen tuntutan bayaran bagi lima projek di sebuah universiti awam di negeri ini.

Perintah reman hingga 10 Jan terhadap lelaki berusia 40-an itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Yuhanis Mohd Roslan selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira 1 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar 2023 dan 2024 dengan menerima wang rasuah melalui transaksi pindahan ke akaun bank milik isterinya.

“Suspek telah ditangkap bersama isterinya semalam tetapi isterinya dilepaskan dengan jaminan SPRM,” katanya sambil memaklumkan keseluruhan projek yang terlibat bernilai kira-kira RM500,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.