ad
BERITA UTAMA

124 kanak-kanak GISBH teruskan pembelajaran, dipantau jabatan pendidikan negeri

6 Jan 2025, 12:00 PM
124 kanak-kanak GISBH teruskan pembelajaran, dipantau jabatan pendidikan negeri

SHAH ALAM, 6 JAN: Seramai 124 anak-anak terkait dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang masih menghuni rumah perlindungan meneruskan pembelajaran bawah pemantauan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari memberitahu kanak-kanak yang sudah dipulangkan kepada ibu bapa pula dicadangkan untuk mengikuti pendidikan arus perdana dengan pemantauan JPNS.

“Selepas tamat tempoh perintah perlindungan interim (IPO) pada 20 November lalu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memulangkan sebahagian besar anak-anak bawah lima tahun dan orang kelainan upaya (OKU) kepada ibu bapa.

“Baki kanak-kanak GISBH dalam jagaan JKM di Selangor setakat ini adalah 124 orang,” katanya kepada Media Selangor.

Pada 2 Januari lalu, Kementerian Pendidikan dilapor sedang menyelaras semula keperluan pendidikan anak-anak terkait dengan GISBH mengikut pendidikan arus perdana.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata penyelarasan itu perlu memandangkan masih ada anak-anak berada di rumah selamat di bawah JKM.

Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Dalam operasi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.