ad
BERITA UTAMA

Selangor selaras prosedur perancangan bandar, atasi kelewatan lulus projek

6 Jan 2025, 9:00 AM
Selangor selaras prosedur perancangan bandar, atasi kelewatan lulus projek

KUALA LANGAT, 6 JAN: Prosedur pengurusan berkaitan perancangan bandar membabitkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri ini akan diselaras, kata EXCO kerajaan tempatan.

Dato’ Ng Suee Lim berkata dengan pelarasan antara PBT itu, isu-isu utama yang melibatkan ketidakseragaman prosedur khususnya kelewatan dalam kelulusan projek dapat ditangani.

“Sebelum ini proses kelulusan projek ambil masa 3 bulan setengah tetapi dengan adanya satu penyeragaman dan penyelarasan akan memastikan amalan terbaik PBT dapat dilaksanakan di seluruh negeri.

“Apabila ada pelarasan dalam memacu pembangunan kita dapat memastikan semua perancangan dapat dilaksana tepat pada masa,” katanya selepas merasmikan bengkel libat urus penyelarasan dan penyeragaman amalan terbaik PBT di sini, hari ini.

Terdahulu, seramai 63 individu daripada 12 PBT termasuk Bahagian Perunding Kawalan Pemajuan Jabatan Kerajaan Tempatan hadir ke seminar yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Dato' Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, Suee Lim turut memaklumkan pelarasan amalan antara PBT itu mampu menarik pelabur sekali gus dapat meningkatkan ekonomi negeri kerana memudah cara melaksana projek.

“Saya diberi amanah untuk memikul tanggungjawab stanco PBT… oleh itu saya mahu memastikan ada anjakan paradigma serta menjadi PBT terbaik di Malaysia.

“Bukan sahaja terbaik di Malaysia tetapi untuk rakyat dan pembangunan serta kelestarian Selangor,” katanya.

Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) adalah model metropolitan untuk memperkukuh ketersambungan ekonomi dan fizikal membabitkan empat bandar raya iaitu Petaling Jaya, Shah Alam, Subang Jaya dan Klang.

Diumum menerusi Belanjawan 2024 pada November tahun lalu dengan peruntukan RM2 juta, SGKV berpotensi menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan mampu tersenarai antara lima lembah utama di Asia.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.