SHAH ALAM, 6 JAN: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperkenal talian psikososial bagi membantu masyarakat yang memerlukan sokongan emosi, khidmat nasihat dan bimbingan krisis.
Menurut agensi itu perkhidmatan sokongan itu disediakan secara percuma untuk semua lapisan masyarakat, bagi membantu mereka menghadapi cabaran kehidupan dengan lebih positif.
“Fungsi perkhidmatan talian psikososial itu termasuk memberi khidmat nasihat dan pemerihalan masalah diri, keluarga dan kehidupan masyarakat.
“Selain itu, rujukan kepada khidmat dan akses pakar dalam bidang berkeperluan khas serta bantuan bersesuaian,” katanya di Facebook.
Menurut Jais lagi perkhidmatan itu disediakan bagi meningkatkan keupayaan dan menambahbaik penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Ia juga bagi memperkasa peranan agensi berkaitan dengan memberikan perkhidmatan terus kepada masyarakat,” katanya.
Orang ramai boleh menghubungi talian tertera di poster dalam waktu pejabat, dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum.