SHAH ALAM, 5 JAN: Naskhah riwayat Rasulullah terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) kekal sebagai buku terlaris agensi itu dengan kira-kira 100,000 terjual setakat ini.
Eksekutif jualan dan pemasarannya berkata buku Muhammad: Riwayat Hidup Berdasarkan Sumber Terawal karya Martin Lings diterbitkan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) pada 2021.
“Ini merupakan karya terbitan IBDE yang pasti pembaca cari bila kita menyertai pesta-pesta buku dan dijangka ia akan terus mengungguli carta buku terlaris tahun ini,” kata Mohammad Hakim Mohammad Hood kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_616993" align="alignleft" width="395"] Eksekutif Jualan dan Pemasaran IBDE Mohammad Hakim Mohammad Hood[/caption]
Menurut beliau, seperti tahun sebelumnya, IBDE terlibat dengan pelbagai pesta buku bagi meneruskan promosi buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama terbitannya.
Katanya, IBDE akan menyertai Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur 2025 pada 29 Januari hingga 2 Februari ini di Central Market Kuala Lumpur.
“Selain itu kita akan sertai pesta buku di pelbagai negeri dan sudah pasti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Kita turut mengintai peluang untuk menyertai pesta buku antarabangsa di luar negara,” katanya.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan 2025 mengumumkan RM2 juta diperuntuk untuk meneruskan usaha penterjemahan karya-karya utama untuk mencambahkan perkembangan ilmu.
Menurut Amirudin Usaha terjemahan ini merupakan suatu ikhtiar warisan lama Tamadun Islam.
IBDE yang menerima geran Kerajaan Negeri giat menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sejarah, falsafah dan agama, sesetengah naskhah asal berusia ribuan tahun.
Karya terbitan IBDE boleh didapati melalui kedai buku Rencana di Sri Damansara, Petaling Jaya atau secara atas talian menerusi pautan bukuibde.com