SHAH ALAM, 5 JAN: Kerajaan Negeri bakal menganjurkan pertandingan muzik keroncong peringkat kebangsaan tahun ini, maklum EXCO kebudayaan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata program dengan kerjasama Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) itu sebagai inisiatif memelihara seni asli tradisional.
“Tahun lepas kita anjurkan pertandingan cempuling. Ini usaha negeri dalam memartabatkan muzik asli ke peringkat antarabangsa. Tahun ini kita anjur pertandingan keroncong,” katanya kepada Selangorkini.
[caption id="attachment_670296" align="alignnone" width="742"] EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bersama pemenang pertandingan nyanyian dan fesyen ketika Pesta Rentak Selangor 2024: Konsert Nostalgia Irama 80an Evolusi Musik di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
September tahun lalu, Dato’ Menteri Besar memaklumkan muzik cempuling yang menjadi seni warisan akan dimartabatkan menerusi peruntukan khas belanjawan negeri tahun ini.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari muzik cempuling sedang diperluas peringkat sekolah di seluruh daerah sekali gus menjadi imej dan identiti Selangor.
Sementara itu, Borhan berkata Selangor sekali lagi bakal menganjurkan pertandingan pertandingan Asli Battle of The Bands (ABOTB) yang dianjur kali pertama dua tahun lepas.
“Edisi pertama hanya libatkan kumpulan dari Selangor tapi kali ini kita perluaskan penyertaan dari kaum asal negeri ini. Kita mahu bakat mereka digilap,” katanya.
ABOTB disertai 25 kumpulan muzik dengan Kumpulan Mayang mewakili Gombak dan Petaling dinobat juara selepas menewaskan tujuh kumpulan lain pada peringkat akhir yang berlangsung pada November 2023.