ad
AGENDA

Kedutaan Palestin tangani kekecohan di pusat transit dengan kerjasama Malaysia

5 Jan 2025, 7:35 AM
Kedutaan Palestin tangani kekecohan di pusat transit dengan kerjasama Malaysia
Kedutaan Palestin tangani kekecohan di pusat transit dengan kerjasama Malaysia

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali melahirkan rasa kesal terhadap kekecohan yang berlaku di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) petang semalam, sambil menegaskan tindakan sedemikian tidak mencerminkan budaya dan etika rakyat Palestin.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia dan kedutaan Palestin komited sepenuhnya dalam menangani isu itu serta menawarkan sokongan kepada mereka yang terjejas.

“Isu ini sedang dibincangkan dengan pihak berkuasa Malaysia. Saya benar-benar sedih dengan apa yang berlaku.

[caption id="attachment_361005" align="alignleft" width="408"] Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali. Foto BERNAMA[/caption]

“Ini bukan etika kami dan bertentangan dengan budaya kami. Kerajaan Malaysia dan Kedutaan Palestin sedang melakukan yang terbaik untuk membantu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Ahad mengesahkan insiden kekecohan melibatkan warga Palestin yang berlaku di WTKL berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.

Dalam satu kenyataan, ATM memaklumkan bahawa kejadian yang berlaku pada 5 petang itu bagaimanapun dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan atau kecederaan. Namun terdapat kerosakan kecil pada perabot di WTKL.

Insiden semalam adalah kejadian kedua yang dilaporkan. Kejadian serupa pernah berlaku pada Oktober lalu.

Pada 16 Ogos, Malaysia membawa 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang cedera akibat serangan Israel di Gaza, ke negara ini untuk menerima rawatan perubatan.

Mereka yang cedera dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.