KOTA BHARU, 5 JAN: Polis Thailand menahan lelaki rakyat Malaysia kerana disyaki mengedar pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM120,000 dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Golok, selatan Thailand, pada 30 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok Kol Pol Jadsadavit Ingprapan berkata suspek berusia 24 tahun yang berasal dari utara tanah air itu dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.
Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas 1,943 biji pil ekstasi, pil erimin 5 (1,510 biji) serta beberapa jenis dadah lain yang turut ditemukan dalam premis berkenaan.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Wilayah Narathiwat untuk tahanan sementara dan sampel air kencingnya diambil untuk ujian saringan di Hospital Sungai Golok.
“Polis Thailand kini sedang menyiasat sumber asal dadah itu, dan memeriksa latar belakang suspek untuk mengetahui jika dia mempunyai rekod kesalahan dadah di negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jadsadavit berkata serbuan itu dianggap satu daripada rampasan terbesar oleh polis Thailand, selepas kejayaan besar pada awal November lalu iaitu 6,000 pil kuda turut dirampas melibatkan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita dari Kelantan.
“Kami akan terus memperketatkan kawalan dan memburu sindiket penyeludupan dadah yang beroperasi di sempadan.
“Rampasan ini adalah bukti komitmen pihak berkuasa Thailand dalam memerangi penyeludupan dadah, serta menjaga keselamatan di sepanjang sempadan negara,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata Sekretariat Nukleus Narkotik (SNN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan polis Thailand bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan itu, termasuk menyiasat kemungkinan dadah berkenaan untuk pasaran di dalam negara.
“Lelaki itu ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok kerana kesalahan memiliki dadah,” katanya hari ini.
Khaw berkata siasatan mendapati lelaki terbabit dipercayai aktif menjual dadah di sekitar Sungai Golok.
- BERNAMA