OLEH AMIRAHWANI RAHIMI
SHAH ALAM, 5 JAN: Sumbangan pascabah Selangor kepada Kelantan, baru-baru ini mencerminkan keprihatinan dan ketelusan kepimpinan negeri, di sebalik pentadbiran berlainan politik.
Mengulas perkara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata tindakan tersebut bukti kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan, dengan mengatasi perbezaan ideologi.
"Hubungan baik Selangor dan negeri lain termasuk kelantan boleh membawa kesan baik kepada rakyat. Melalui kerjasama beberapa aspek berkait ekonomi, kepentingan rakyat boleh diketengahkan.
[caption id="attachment_680424" align="aligncenter" width="816"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan cek cura bantuan banjir kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di kediaman rasmi di Kota Bharu pada 2 Januari 2025. Foto RADIN WAZIR/PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR[/caption]
"Misalnya, banyak rakyat Kelantan yang bekerja dan mencari rezeki di Selangor," katanya ketika dihubungi Media Selangor semalam.
Beliau menambah tindakan tersebut bukan sahaja mencerminkan nilai kemanusiaan yang tinggi, bahkan juga menunjukkan sikap keterbukaan Kerajaan Selangor.
Pada 2 Januari, Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari menyerahkan bantuan RM500,000 kepada Kerajaan Kelantan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir yang terjejas.
Beliau menyerahkan sumbangan tersebut kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di kediaman rasminya di Kota Bharu, Kelantan.