ad
AGENDA

Kecoh di pusat transit kerana mahu cepat pulang ke Palestin

5 Jan 2025, 2:35 AM
Kecoh di pusat transit kerana mahu cepat pulang ke Palestin

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Warga Palestin yang membuat kecoh dan merosakkan barang di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) di sini semalam seperti tular di media sosial dipercayai berpunca kerana mahu proses permohonan mereka pulang ke Palestin dipercepatkan.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkata, insiden kekecohan itu berlaku jam 5 petang semalam namun situasi itu dapat dikawal dengan baik oleh pihaknya.

Susulan insiden berkenaan, pegawai dan anggota ATM yang bertugas berbincang bersama dengan warga Palestin terbabit.

"Kekecohan dipercayai berpunca keinginan warga Palestin yang mahukan proses permohonan mereka untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.

"Situasi itu dapat dikawal dengan baik tanpa membabitkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.

Kenyataan itu berkata, warga Palestin terbabit kemudian bersurai jam 7.30 malam.

"Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden berkenaan," katanya.

Terdahulu, rakaman video memaparkan sekumpulan individu warga Palestin membuat kekecohan dan turut didakwa merosakkan serta membakar barang di pusat transit.

Insiden itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat yang kecewa dengan kekecohan yang berlaku dan berharap warga Palestin dapat dihantar pulang ke negara mereka.

Oktober lalu rakaman video wanita warga Palestin membuat kecoh dan merosakkan harta awam di WTKL tular di media sosial sebelum kemudian tampil membuat permohonan maaf.

Individu itu adalah sebahagian daripada 127 orang awam Palestin yang cedera dan tiba di Malaysia pada 16 Ogos tahun lalu untuk menerima rawatan perubatan di sini berikutan serangan Israel ke atas Gaza.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Perhimpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil, mengumumkan bahawa Malaysia merancang menerima orang awam Palestin yang cedera bagi membolehkan mereka menerima rawatan di Malaysia.

Pada 16 Ogos, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara Subang TUDM.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.