SHAH ALAM, 5 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan bantuan modal khusus buat usahawan wanita yang ingin mengembangkan perniagaan mereka.
Agensi itu memaklumkan pembiayaan di bawah Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) itu menawarkan modal sehingga RM50,000 serta terbuka kepada pemohon berumur 18 hingga 65 tahun.
"Apa sahaja perniagaan anda, Skim NaDI Hijrah Selangor sedia membantu.
"Dari perniagaan makanan, kraftangan hingga servis kecantikan - usahawan wanita berkumpulan di Sabak Bernam dan Hulu Selangor boleh menikmati pembiayaan sehingga RM50,000 untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Layari hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut atau imbas kod QR (poster di bawah) untuk permohonan dalam talian,” maklumnya menerusi Facebook.
Pada 11 September lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
Sebelum ini Mearia memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu tahun lalu.