SHAH ALAM, 4 JAN: Karnival CASAxOKU 2025 yang akan berlangsung tiga hari mulai 16 Januari menjadi platform orang kurang upaya (OKU) meningkatkan keterlibatan sosial dalam komuniti.
Dianjurkan pelajar Pengajian Seni Liberal, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Perdana, antara OKU terlibat termasuk OKU masalah penglihatan dan autistik.
Menurut kenyataan sekretariat, seramai 438 pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda semester satu hingga empat terlibat dengan program berkenaan.
“Karnival ini turut memberi peluang kepada golongan OKU menunjukkan bakat terpendam mereka dalam program yang dikendalikan pelajar.
“Mungkin ada daripada mereka belum pernah merasai suasana pembelajaran, berinteraksi dengan pelajar dan pensyarah sekali gus dapat merapatkan jurang dan menzahirkan keprihatinan terhadap golongan OKU,” katanya.
Antara pengisian program termasuk Simfoni Tanpa Batasan iaitu projek persembahan seni yang bertujuan meraikan bakat unik dan luar biasa golongan OKU melibatkan bidang muzik, nyanyian dan tarian.
Selain itu, program Tangan Yang Melihat iaitu gabungan acara yang akan meningkatkan kesedaran orang awam tentang cabaran harian dihadapi individu OKU penglihatan serta bengkel lukisan.
Turut diadakan acara mencari harta karun (treasure hunt) bertujuan mendedahkan pelajar mengenai setiap kategori OKU seperti OKU pendengaran, penglihatan, fizikal, masalah pembelajaran, pertuturan, mental dan pelbagai.
Selain itu, ruang gerai jualan yang menampilkan produk hasil usaha serta karya seni kreatif golongan OKU turut disediakan.