SHAH ALAM, 4 JAN: Fakulti Teknologi, Reka Bentuk dan Pengurusan University College of Yayasan Pahang (UCYP) menganjurkan Pameran bertema Ekspresi Letupan – Membebaskan dan Melindungi Hak Kreatif pada 15 hingga 23 Januari ini.
Dekan Teknologi, Reka Bentuk dan Pengurusan UCYP Prof Dr Mohd Hamisa Abd Hamid berkata pameran terbuka itu diadakan di Galeri Kreatif, kampus utama UCYP bermula jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.
"Pameran ini menumpukan kepada inovasi dan kreativiti sambil meningkatkan kesedaran berhubung kepentingan melindungi hak cipta dan hak kreatif dalam dunia seni.
"Ia juga menjadi bukti komitmen UCYP dalam menghubungkan bakat pelajar dengan komuniti seni di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya menerusi kenyataan.
Dr Mohd Hamisa berkata pameran itu dijangka menarik perhatian golongan profesional dalam industri kreatif dan pihak berkepentingan yang berhasrat menyokong bakat muda tempatan.
Selain berpeluang mendapat e-buku eksklusif, jelas beliau pengunjung turut dapat menghayati pelbagai karya seni kreatif sambil memahami kepentingan perlindungan hak intelektual dalam seni dan budaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai program atau peluang kerjasama, boleh hubungi Nur Izzati Liyana menerusi talian 019-546 0456 atau Dr Muhamad Amirul Hafiz di 011-2860 7119.