HULU SELANGOR, 4 JAN: Lelaki warga Pakistan yang merempuh mati penunggang motosikal di lampu isyarat Jalan Azalea 1/1 Sungai Choh, Serendah di sini Khamis lalu direman empat hari.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim, berkata pemandu kereta Proton Wira berusia 50 tahun itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan.
"Dia direman empat hari bermula semalam," katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Berita Harian.
Pada masa sama, Ahmad Faizal memaklumkan, lelaki warga asing itu mempunyai lesen memandu dan dalam perjalanan pulang ke Bukit Rawang Jaya selepas bertemu dengan rakannya di kilang Perodua.
Terdahulu, seorang penunggang motosikal berusia 48 tahun yang meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar hijau tercampak ke tepi jalan selepas dirempuh kereta.
Insiden itu dirakam kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang mengekori mangsa dari belakang.
Ahmad Faizal berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu lelaki terbabit yang sepatutnya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Sentosa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
"Ketika ini, punca kematian penunggang motosikal itu masih dalam siasatan.
"Kedua-dua kenderaan ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.