ad
AGENDA

Polis tahan lelaki simpan, jual mercun tanpa permit

3 Jan 2025, 3:10 PM
Polis tahan lelaki simpan, jual mercun tanpa permit

GEORGE TOWN, 3 JAN: Polis Marin menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki menyimpan dan menjual mercun tanpa permit di sebuah rumah di Kampung Koh dekat Setiawan, Perak.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu ACP Rusley Chi Ari berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) Kampung Acheh, Perak yang menjalankan Op Musim Perayaan Tahun Baharu Cina antara 11 malam semalam hingga 2 pagi tadi.

“Dalam serbuan itu pihaknya turut menemukan 29 kotak mengandungi 655 bungkusan mercun pelbagai jenis yang disimpan di dalam bilik rumah berkenaan bernilai RM25,150,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusley berkata berdasarkan siasatan suspek dipercayai mula aktif dalam aktiviti penjualan mercun sejak dua minggu lepas dan dipercayai mengedar mercun terbabit kepada kedai runcit di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.