SHAH ALAM, 3 JAN: Kerajaan belum menerima sebarang maklumat terkini daripada pihak berkuasa kesihatan berhubung ancaman virus baharu, metapneumovirus (hMPV) yang dilapor kian menular di China.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementerian memantau perkembangan jangkitan sistem pernafasan itu secara dekat selain menasihatkan masyarakat supaya tidak bimbang.
“Kita belum dapat maklumat terkini. Kami akan terus memantau, sejurus saya dapat pengesahan atas perkara itu, saya akan membuat kenyataan akhbar atau sidang media.
“Sehingga saat ini belum ada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) beri maklum terkini kepada saya (mengenai virus itu di Malaysia),” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu, agensi berita antarabangsa melaporkan China sedang berdepan ancaman hMPV, lima tahun selepas kes pertama Covid-19 berlaku di negara berkenaan.
Jangkitan pernafasan itu dilapor banyak berlaku di wilayah utara China dengan kes kebanyakannya membabitkan golongan berumur bawah 14 tahun.
Antara gejala penyakit itu ialah batuk, demam, hidung tersumbat dan nafas berbunyi seperti wisel.