ad
BERITA UTAMA

Petani diminta daftar Agro Selangor segera, mudah mohon bantuan

3 Jan 2025, 4:00 AM
Petani diminta daftar Agro Selangor segera, mudah mohon bantuan

SHAH ALAM, 3 JAN: Golongan petani diminta mendaftar segera dalam aplikasi Agro Selangor yang dibangunkan Kerajaan Negeri bagi memudahkan mereka menerima bantuan pertanian.

EXCO pertanian berkata menerusi aplikasi yang dilancar bulan lalu, urusan permohonan petani menjadi lebih mudah malah mereka berpeluang terus melapor sebarang aduan.

“Aplikasi ini turut menyediakan maklumat terkini terutama pertanian moden dan bernilai tinggi. Segala maklumat bantuan berupa insentif dihebahkan dalam aplikasi itu selain khidmat nasihat.

“Ini akan membantu mereka. Aplikasi juga menawarkan rangkaian perkongsian. Ini perkara penting sekiranya petani tidak mahu tertinggal selain permohonan bantuan juga akan mudah diluluskan,” kata Dato’ Ir Izham Hashim kepada Selangorkini.

Pada 12 Disember, Izham melancarkan aplikasi dilengkapi pelbagai kemudahan yang bakal memanfaatkan sekitar 25,000 penggiat sektor pertanian negeri.

Untuk permulaan, aplikasi Agro Selangor boleh dimuat turun melalui Google Play atau layari laman sesawang www.agroselangor.com bagi pendaftaran.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor menumpukan aspek pemodenan pertanian dan tanaman bernilai tinggi bagi memajukan pertanian negeri dan mempromosikan hasil tempatan.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, inisiatif tersebut sebahagian daripada strategi kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran produk pertanian bernilai tinggi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.